(Extracted from Buletin Komuniti UITM Sarawak: SINERGIlestari, Issue 1 Jan - Jun 2024)
Pada 5 Januari 2024, Fakulti Pengurusan Perniagaan, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Samarahan telah mengadakan program pengurusan kewangan yang melibatkan seramai 146 orang pelajar Kolej SIDMA dan 102 orang pelajar UiTM Cawangan Sarawak bertempat di Hotel Riverside Majestic, Kuching. Antara matlamat program adalah untuk memberikan kesedaran kepentingan menguasai kemahiran dan pengetahuan asas tentang pengurusan kewangan kendiri termasuk aspek yang berkaitan dengan perbelanjaan, pendapatan, pelaburan, pengurusan harta
dan membolehkan setiap individu mencapai satu titik kestabilan kewangan demi menjamin masa
depan yang lebih baik. Selain itu, program ini menjadi simbol permuafakatan antara dua institusi pengajian tinggi di Sarawak.
Program ini diuruskan sepenuhnya oleh barisan mahasiswa daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan disertai oleh wakil pensyarah dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan iaitu Dr Fareiny binti Morni, Puan Erimalida binti Yazi dan Dr Azra anak Tilai dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Marzuki bin Haji Umi, Pengerusi Kolej SIDMA dan Puan Nandy Marlina binti Saar, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej SIDMA.
Program ini boleh dianggap sebagai satu inisiatif UiTM Cawangan Sarawak untuk menyalurkan sumbangan melalui pemindahan pengetahuan yang selari dengan penerapan nilai UiTM seperti Excellence, Synergy, Integrity - Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin, Tanggungjawab (ESI-iDART) dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan khususnya UiTM Cawangan Sarawak. Besar harapan agar program ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi lain di Sarawak kerana terbukti memberi impak positif khususnya kepada golongan belia selain sebagai galakan untuk mereka belajar membuat keputusan bijak untuk merancang pengurusan kewangan yang seimbang. Melalui program ini, mahasiswa dapat memperolehi pendedahan awal tentang langkah persediaan untuk mempraktikkan pendekatan strategik untuk kestabilan ekonomi di masa hadapan.
Program dimulakan dengan sesi ceramah yang bertajuk” Money Matters 101-Student Edition-Saving, Investing and Insuring Your Tomorrow” yang menekankan tiga komponen utama iaitu simpanan, pelaburan dan insuran. Program diteruskan dengan sesi interaktif secara berkumpulan di mana para peserta dikehendaki untuk membelanjakan sejumlah wang (dummy money) yang diberikan secara berhemah dan pemenang ditentukan berdasarkan kepada kebijaksanaan mereka membelanjakan wang tersebut. Program ini tamat sekitar pukul 5.00 petang dengan majlis penyampaian saguhati dan hadiah kepada para pemenang.